Petua Mengelak Rumahtangga Bercerai
by ENSAIKLOPEDIA PETUA MELAYU LAMA on Monday, November 29, 2010 at 3:10am
Semua pasangan suami isteri tidak menginginkan penceraian berlaku dalam perkahwinan yang dibina. Namun, harapan saja tidak mencukupi. Mereka seharusnya berusaha untuk menghindarinya.
Petua 1: Berkomunikasi
Biasakan diri untuk saling berkomunikasi bersama pasangan, baik ketika berada di rumah mahupun ketika sedang berjauhan. Jika ada masalah, sebaiknya dibincangkan ketika anda atau pasangan sedang santai. Ketidakharmonian rumahtangga biasanya bermula dari kurangnya komunikasi dua arah antara suami dan isteri. Masing-masing saling menyimpan masalah seolah-olah bersendirian meskipun berada di bawah satu bumbung.
Petua 2: Bincang Jika Ada Masalah Seks Masalah seks ternyata antara penyebab berlakunya penceraian. Mungkin ramai yang lupa bahawa fungsi hubungan seksual selain untuk mendapatkan zuriat keturunan, ia juga untuk rekreasi dan ekspresi cinta. Ramai pasangan mengakui hubungan seksual dilakukan untuk menghilangkan tekanan setelah seharian bekerja. Bagi mengelakkan kebosanan, tiada salahnya anda lebih kreatif dalam aspek kehidupan seksual. Lokasi, teknik atau posisi yang baru adalah antara cara yang boleh dilakukan. Namun perlu diingatkan, apa yang anda inginkan dalam hubungan seks harus dikomunikasikan dengan pasangan anda.
Petua 3: Terimalah Pasangan Seadanya
Ketika seorang lelaki dan wanita berumahtangga dan hidup sebumbung maka sifat sebenar masing-masing akan terserlah. Sikap itu mungkin tidak sama seperti anda berdua di alam percintaan. Yang ada ketika itu hanyalah dua insan yang harus saling menyesuaikan diri. Inilah kehidupan perkahwinan yang sebenarnya. Anda dan pasangan belajar mengenali perbezaan masing-masing. Dalam tempoh mengenali ini, anda akan berhadapan dengan beberapa perkara yang boleh menimbulkan konflik. Antaranya ialah perbezaan persepsi, wawasan, nilai, latar belakang dan keperibadian. Namun, perbezaan itu sebenarnya boleh diatasi jika masing-masing saling berusaha memahami dan menilai diri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan